Aku dilahirkan lebih lima dekat yang lalu di sebuah kampung kecil yang bernama Tanah Lalang di Bagan Datuh, Perak pada 9 November 1961. Ketika aku dilahirkan, ayahku tiada di sisi ibu kerana bertugas di Conggo, Afrika, Ayahku seorang perajurit tanah air yang dihantar oleh pihak Kerajaan Malaysia sebagai pegawai pengaman kerana ketika itu Conggo sedang bergolak peperangan saudara.
Adik kepada ibukulah yang pergi menjemput mak bidan bagi membantu ibuku untuk melahirkan seorang insan yang akan lahir ke dunia. Dengan berbekalkan doa seorang insan yang mengharapkan limpah rahmat dan bantuan Allah yang Maha Esa sepenuhnya, akhirnya ibuku selamat melahirkan seorang bayi perempuan dan insan tersebut adalah aku sendiri.
Ketika itu, tiada peralatan canggih seperti zaman kini, tetapi menurut ibuku, semasa melahirkan kakakku juga dalam keadaan normal. Mungkin zaman dulu, keyakinan dan azam yang kuat diiringi dengan doa tanpa berbelah bagi, diberi pertolongan Allah SWT. Syukur, alhamdulillah kerana aku diberi peluang oleh Allah SWT untuk merasai nikmat kehidupan di dunia ini.